Ketika anda masih kecil, tidak mustahil hampir semua orang mempunyai
jangkitan demam campak. Demam campak bukan sahaja boleh memberi kesan
terhadap kesihatan, tetapi juga meninggalkan parut-parut yang sangat
buruk. Namun parut-parut ini hanyalah sementara sahaja dan agak mustahil
untuk anda mendapat demam campak buat kali kedua!
Apabila anda meningkat dewasa, hormon-hormon dalam badan akan berubah
dan untuk sesetengah orang yang tidak mempunyai genetik kulit cantik,
akan mula menghadapi satu masalah yang lebih dahsyat daripada parut
demam campak, iaitu JERAWAT!
Jerawat bukan sahaja berlaku ketika anda berusia remaja, malah 54
peratus wanita yang berumur lebih 25 tahun juga menghadapi masalah ini,
dan ianya lebih lazim di kalangan wanita berumur 30an. Selain masalah
kulit berkedut, masalah jerawat dan kesan-kesan parut akibat jerawat
adalah salah satu masalah wanita yang sangat merunsingkan.
Menurut ahli dermatologi dan penulis buku "Heal Your Skin", Ava Shamban
serta Pengarah Pusat Latihan Dan Pembangunan Institut Dermatologi, Annet
King, masalah jerawat adalah genetik dan ianya boleh dirawat dengan
bantuan doktor pakar kulit. Walaubagaimanapun, kos rundingan ini
selalunya mahal. Masih ada cara lain yang tidak menggunakan wang dan
boleh dilakukan untuk melawan masalah jerawat. Di sini kami senaraikan
penyebab jerawat menyerang dan bagaimana anda boleh mengelaknya.
1. Penggunaan alat solekan dengan bahan-bahan tiruan
Kebanyakan wanita pastinya menggunakan alat kosmetik apabila keluar dari
rumah, dan dalam mengaplikasi solekan tersebut, anda pastinya
menggunakan bedak, alat-alat kosmetik seperti berus, pembayang mata dan
lain-lain. Tapi sedarkah anda bahan-bahan di dalam alat solekan anda
boleh memberi kesan terhadap kulit anda? Malah ada alat solekan yang
menggunakan bahan-bahan tiruan. Oleh itu lihatlah bahan-bahan ini ketika
anda membeli alat solekan yang boleh menyebabkan masalah jerawat.
Warna tiruan: Sekiranya terdapat perkataan "FD&C",
ini bermakna produk ini mempunyai bahan tiruan. Bahan ini boleh
menyebabkan iritasi kulit, dan sekiranya ia terdapat dalam pemerah pipi
atau lipstik, ianya boleh menyebabkan jerawat di pipi atau sekeliling
mulut.
Lanolin: Ini adalah sejenis sebum atau minyak kambing
biri-biri. Walaupun ianya bagus untuk kulit kering, tetapi ianya boleh
memberi kesan buruk untuk kulit yang memang bermasalah.
Minyak mineral: Bahan ini akan membentuk satu lapisan
di permukaan kulit, di mana ianya akan memerangkap kulit mati dan
bakteria (penyebab utama jerawat) dan juga menyebabkan milia, iaitu sejenis bintik-bintik putih di kulit anda.
Petroleum: Ini adalah sejenis bahan yang membuatkan
kulit anda lebih berminyak dan semestinya anda tidak perlukan bahan ini
di muka anda.
Isopropyl Myristate: Bahan ini boleh membuatkan kulit
anda kurang berminyak, tetapi ianya akan menyumbat liang-liang roma dan
menyebabkan iritasi kulit.
Pewangi tiruan: Bahan ini boleh menyebabkan kulit bermasalah. Oleh itu, cubalah cari produk yang bebas pewangi.
2. Tekanan pada permukaan kulit
Tekanan pada permukaan kulit turut boleh menyebabkan jerawat. Contohnya
seperti penggunaan telefon bimbit, memegang muka anda dengan tangan dan
sebagainya. Ini kerana tangan anda, telefon bimbit dan sebagainya adalah
kotor dan mempunyai bakteria. Apabila anda mendekatkan bahan-bahan ini
ke muka anda, maka bakteria itu akan berjangkit dan menyebabkan
pembiakan bakteria di kulit anda, yang kemudiannya menyebabkan jerawat!
Oleh itu, apa yang patut anda buat ialah menukar habit anda dalam
memegang muka anda, dan juga membersihkan sebarang permukaan
barang-barang yang selalu digunakan berdekatan dengan kulit muka,
terutamanya telefon bimbit supaya tiada jangkitan bakteria.
3. Stress
Sedarkah anda setiap kali anda stress, kulit anda akan menjadi kusam dan
bermasalah? Ini kerana apabila anda stres, badan anda akan menghasilkan
hormon berlebihan dan juga kortisol yang boleh menyebabkan jerawat.
Selain penyebab kulit berkedut, masalah jantung dan juga masalah
penghadaman, stress juga boleh menyebabkan tahap imunasi badan anda
rendah. Oleh itu ianya boleh menyebabkan badan anda lebih terdedah
kepada bakteria dan pelbagai penyakit. Jadi apa anda perlu buat? Relaks!
Kurangkan tahap stress anda dengan bertenang dan membuat aktiviti yang
boleh menceriakan anda, contohnya beriadah dengan keluarga, menonton
wayang ataupun bergelak ketawa!
4. Pakaian dan alas katil/bantal yang kotor
Bakteria boleh berada di mana-mana sahaja dan salah satunya dalam bentuk
kulit mati. Apabila anda tidur, kulit anda akan mengalami proses
penukaran dan kulit-kulit mati akan jatuh. Cuba bayangkan, anda tidur
selama 6 sehingga 8 jam setiap hari, dan sekiranya alas bantal tidak
ditukar, anda akan tidur dengan kulit-kulit mati dan bakteria melekat di
muka anda! Selain itu, baju-baju anda pakai yang sudah terdedah dengan
peluh, kotoran di luar, sekiranya tidak dicuci, akan menjadi tempat
bakteria membiak! Malah tuala yang lembap selepas digunakan juga boleh
menjadi tempat pembiakan bakteria yang menyebabkan jerawat.
Oleh itu, apa yang patut anda buat ialah menukar cadar dan alas bantal
sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu. Kemudian anda
hendaklah menggunakan tuala baru setiap hari. Selain itu kurangkan
penggunaan bahan pelembut dan pencuci yang mengandungi pewangi yang
boleh menyebabkan iritasi apabila mencuci pakaian anda.
5. Produk rambut
Ramai yang tidak sedar penggunaan syampu dan produk rambut boleh
menyebabkan jerawat. Sekiranya anda fikir balik, tahukah anda berapa
kali rambut anda menyentuh kulit muka anda? Melainkan anda cuci rambut
anda setiap hari dan malam sebelum tidur, bahan-bahan tersebut akan
melekat di bantal tidur anda, seterusnya ke muka anda.
Malah dengan bahan-bahan yang terdapat dalam produk rambut seperti
minyak, silikon, dan sebagainya boleh membuatkan kulit anda tersumbat.
Jadi apa yang perlu anda buat ialah mengelakkan rambut anda daripada
jatuh ke muka, seperti memakai cekak rambut atau mengikat rambut anda.
Bagi mereka yang memakai tudung, pastikan kain tudung anda bersih dan
dibasuh setiap hari.
6. Berus solek
Setiap kali anda menggunakan berus solekan, kulit-kulit mati anda akan
melekat di alat tersebut, seterusnya menjadi tempat bakteria membiak dan
menyebabkan jerawat. Oleh itu apa yang perlu anda lakukan ialah
menggunakan span solekan sekali sahaja atau mencuci berus yang digunakan
setiap minggu dengan pencuci khas berus solekan atau syampu. Ini akan
membuat berus anda bebas bakteria dan membuatkan kulit anda bebas
jangkitan jerawat!
7. Pemakaian baju ketat
Selain di muka, jerawat juga boleh menyerang permukaan kulit di badan
yang lain seperti belakang badan, dada malah kaki! Selalunya perkara ini
berlaku apabila kulit mati dan peluh terperangkap di badan akibat
pemakaian baju yang tidak sesuai seperti terlalu ketat. Fabrik seperti polyester atau lycra
juga boleh memerangkap kulit-kulit mati dan peluh di badan, menyebabkan
bakteria membiak. Oleh itu, apa yang perlu anda buat untuk mengelak
perkara ini ialah memakai pakaian yang longgar menggunakan fabrik kapas
atau bahan yang membenarkan kulit anda untuk bernafas.
Petikan Dari:-
By Nurul Yezid | Tupai – Thu, May 10, 2012 5:23 PM MYT
No comments:
Post a Comment