TANYALAH USTAZ..............
Soalan: Boleh seseorang yang amat tertekan dengan kesuntukan masa, seperti peperiksaan menjamakkan solatnya?
Jawapan Dr MAZA: Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu diterangkan
maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat
yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr
dan Maghrib bersama Isyak. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat
yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang
bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana
seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir
disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh
menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan
solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor,
dia menunaikan pula empat rakaat Asr. Demikian juga dia boleh
melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga
Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim,
daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا
بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ
فَسَأَلْتُ سَعِيدًا لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَالَ سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ
كَمَا سَأَلْتَنِي فَقَالَ أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ
أُمَّتِهِ
“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara
jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair:
“Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”.
Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau
bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak
beban”.Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:
جَمَعَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ
وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ
“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak secara jamak
di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.
Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha
(ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan
keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau
hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan
seumpamanya.
Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang
menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan
solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat
ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan
urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan
peperiksaan yang telah ditetapkan. Demikian juga bagi wanita yang
bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah
perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa
qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang.
Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya
terlebih dahulu, jika menyukarkan maka ketika itu diizin.
Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab
al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra
(2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut) dan kitab-kitab lain.
Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah
(1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut).
No comments:
Post a Comment